Polis sahkan tiada unsur jenayah dalam kematian kanak-kanak autisme di Perak
Polis sahkan tiada unsur jenayah kematian kanak-kanak autisme

IPOH, 1 Julai — Polis telah menolak sebarang unsur jenayah dalam kematian seorang kanak-kanak autisme lelaki berusia enam tahun yang ditemui dalam longkang di Kampung Baru Sungai Sumun, Hutan Melintang, semalam.

Bedah siasat sahkan punca kematian lemas

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik di Hospital Teluk Intan, yang mengesahkan punca kematian adalah lemas.

“Pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal atau tanda-tanda unsur jenayah.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Sehubungan itu, kes telah diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kronologi kehilangan kanak-kanak

Mengulas mengenai kehilangan mangsa, Mohammad Ali berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.54 petang selepas kanak-kanak tersebut kali terakhir dilihat di ruang tamu rumahnya di Kampung Baru Sungai Sumun.

Usaha mencari pada mulanya dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk setempat tetapi gagal menemui kanak-kanak itu sebelum sebuah Pusat Kawalan Insiden (PKTK) ditubuhkan untuk menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa kemudiannya ditemui terapung di dalam longkang pada jam 10 malam. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga