Seberang Perai Selatan, 24 Jun – Polis sedang mengesan dua pemandu kenderaan yang dipercayai memandu secara melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Jawi menuju ke Bukit Tambun selepas video kejadian tersebut tular di media sosial semalam.
Video tular menunjukkan aksi merbahaya
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Norazmi Abd Ghapar, berkata video berdurasi dua minit 43 saat itu dimuat naik ke Facebook pada jam 8.30 malam semalam. Menurutnya, rakaman tersebut memaparkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah Perodua Viva dipandu secara melulu, kononnya berlumba di sepanjang PLUS dari Jawi ke Bukit Tambun.
“Tindakan mereka amat merbahaya, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
Norazmi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya. Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau identiti pemandu berkenaan supaya membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-585-8222.
Sebelum ini, video yang tersebar di media sosial menunjukkan kedua-dua kenderaan melakukan gerakan memotong secara merbahaya di lebuh raya, membahayakan pengguna jalan raya yang lain.



