Seorang lelaki maut selepas dipercayai terhisap ke dalam tangki air ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah menara air di Bandar Saujana Perdana, dekat sini semalam.
Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri
Ketua Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hamdan Hamzah, berkata mangsa yang berusia 24 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki takungan menara sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.51 pagi dan mengerahkan Jentera Pemadam Kebakaran serta lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya ke lokasi.
Tiba di lokasi dalam 26 minit
“Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 12.17 tengah hari dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
“Berdasarkan maklumat awal daripada panggilan, mangsa dipercayai terhisap ke dalam tangki air dan lemas semasa menjalankan kerja penyelenggaraan di tangki takungan menara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hamdan berkata anggota bomba kemudiannya mengeluarkan dan menurunkan mangsa dari tangki tersebut.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan. — Bernama



