KUALA LUMPUR, 25 Mei — Seorang lelaki mengalami kecederaan pada paha dan kaki selepas digigit buaya dalam kejadian di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas awal pagi tadi.
Kejadian pukul 5 pagi
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, mangsa, Jaafa Hasan, 62, yang merupakan setiausaha jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK), mengalami kecederaan serius pada kedua-dua belah kaki dan pahanya, menurut laporan Kosmo! Online.
Menurut seorang nelayan tempatan, kejadian itu dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp nelayan dan menjadi viral awal hari ini.
Mangsa tidak perasan buaya
Difahamkan, mangsa sedang berada di tebing sungai untuk menebar jala ketika serangan berlaku.
"Mangsa mungkin tidak perasan kehadiran buaya, yang kemudian menyerangnya. Dia dipercayai bergelut dengan reptilia itu dan berjaya melarikan diri," kata sumber tersebut.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital oleh paramedik dan kini menerima rawatan susulan bagi kecederaannya.
Perhilitan siasat
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.



