ALOR GAJAH, 3 Jun — Seorang lelaki mengalami lecur kira-kira 50 peratus pada badannya selepas terkena letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di sebuah rumah di Taman Baiduri, Kuala Ina di sini hari ini.
Kronologi kejadian
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10.26 pagi sebelum satu pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dihantar ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penyewa rumah tersebut cedera selepas letupan secara tiba-tiba di bahagian dapur.
“Pasukan Perkhidmatan Rawatan dan Penyelamatan Kecemasan (EMRS) JBPM memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan membawanya ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal
Menjelaskan lanjut, Zulkhairani berkata difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari kampungnya di Pahang, terdengar bunyi yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah sebelum memeriksa tong gas memasak.
Katanya, semasa mangsa sedang memeriksa, satu letupan secara tiba-tiba berlaku yang menyebabkan dia mengalami kecederaan lecur dan kerosakan serius pada rumah tersebut.
“Letupan itu menyebabkan kerosakan pada bumbung rumah selain menjejaskan struktur bangunan termasuk pintu dan tingkap, siling dan pendawaian elektrik.
“Pemantauan dan pemeriksaan keselamatan juga sedang dijalankan bagi memastikan tiada risiko kebocoran gas seterusnya, selain membantu siasatan kejadian,” katanya.
Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas LPG yang terkumpul di dalam rumah sebelum letupan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian. — Bernama



