Dua maut, empat cedera SUV rempuh surau sekolah di Pasir Puteh
Dua maut SUV rempuh surau sekolah di Pasir Puteh

KOTA BHARU, 5 Julai — Dua wanita Indonesia maut manakala empat individu lain cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki dipercayai tergelincir sebelum merempuh sebuah surau di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Jalan Selising-Bukit Merbau, Pasir Puteh, awal pagi tadi.

Kronologi kejadian

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Helmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.34 pagi sebelum mengerahkan tujuh anggota dari stesen Pasir Puteh dan enam anggota dari BBP Ketereh dengan dua jentera ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati SUV tersebut telah tergelincir sebelum merempuh surau yang terletak di tepi jalan raya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kesemua mangsa warga Indonesia

"Terdapat enam mangsa di dalam kenderaan dan kesemuanya adalah warga Indonesia. Dua penumpang wanita di bahagian belakang, masing-masing berusia 30-an dan 50-an, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terperangkap dengan kecederaan parah di kepala dan badan," katanya kepada Bernama hari ini.

Azhar Helmi berkata, berdasarkan maklumat awal, pemandu lelaki mempunyai isteri dari Machang.

Tindakan menyelamat

Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua mangsa yang terperangkap sebelum mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, empat mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, untuk rawatan, manakala operasi menyelamat tamat pada pukul 7.44 pagi ini. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga