KUALA LUMPUR, 2 Jun — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di tujuh negeri sehingga jam 7 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata keadaan cuaca dijangka berlaku di seluruh Perlis, manakala di Pahang ia akan melibatkan Cameron Highlands.
Cuaca sama turut diramalkan di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Sik di Kedah; serta Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, dan Kampar di Perak.
Di Terengganu, kawasan terjejas termasuk Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman.
Sementara itu, di Sabah, amaran serupa dikeluarkan untuk Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud); Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan) dan Kudat, manakala di Sarawak melibatkan Mukah (Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri, dan Marudi) dan Limbang.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca buruk. Sebarang kemas kini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa.



