MIRI, 23 April — Seorang wanita tempatan kerugian RM485,832 selepas menjadi mangsa skim pelaburan dalam talian palsu yang menjanjikan pulangan cepat.
Laporan polis dibuat
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata mangsa yang berusia 48 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya telah ditipu.
Beliau berkata mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pelaburan di Instagram sebelum menghubungi individu dikenali sebagai “Han Zhi Hai” melalui nombor telefon antarabangsa.
Janji pulangan tinggi
“Mangsa dijanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat dan membuat 14 pindahan wang ke 12 akaun bank berbeza, berjumlah RM485,832, seperti diarahkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Farhan berkata mangsa mula curiga selepas gagal menerima keuntungan yang dijanjikan dan diberi pelbagai alasan, menyebabkan dia sedar telah ditipu.
Kes disiasat
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. — Bernama



