Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Beliau bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia mendoakan Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan seluruh kerabat diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.
Ucapan Anwar Ibrahim
“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama, serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” kata Anwar dalam catatan Facebook. “Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku,” tambahnya.
Ucapan Tunku Mahkota Ismail
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut merafak sembah merakamkan ucapan dan doa kepada Sultan Ibrahim. “Allah peliharakan Sultan. Daulat Tuanku,” titah baginda ringkas dalam ucapan kepada paduka ayahanda yang dimuat naik ke Facebook HRH Crown Prince of Johor.
Ucapan Menteri Besar Johor
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi turut merafak sembah dan merakamkan ucapan tahniah serta doa kepada Sultan Ibrahim. “Sembah takzim daripada patik dan seluruh Bangsa Johor. Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ucapan Timbalan Perdana Menteri
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof juga merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim. “Semoga Duli Tuanku terus kekal qarar bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kemuliaan serta memayungi rakyat dan memimpin negara dengan penuh hikmah, adil dan bijaksana,” katanya dalam catatan Facebook.
Hari ini merupakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Pelbagai pihak termasuk pemimpin negara dan negeri menzahirkan ucapan tahniah serta doa buat Seri Paduka Baginda.



