Menteri Perpaduan gesa budaya digital lebih bijak sempena Hari Wesak
Menteri Perpaduan gesa budaya digital lebih bijak sempena Wesak

KUALA LUMPUR, 30 Mei — Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia untuk mempertahankan nilai kemanusiaan, memperkukuh perpaduan dan bergerak ke arah masyarakat digital yang lebih beretika, berbudi bahasa dan bijaksana.

Seruan dalam ucapan Hari Wesak

Dalam ucapan Hari Wesak kepada penganut Buddha di seluruh negara, beliau berkata tema sambutan peringkat kebangsaan tahun ini, “Mendepani Era Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama”, membawa mesej yang sangat bermakna kepada semua rakyat Malaysia.

“Dalam dunia digital hari ini, perpaduan diuji bukan sahaja di dunia nyata tetapi juga di media sosial. (Walaupun) satu hantaran boleh menyatukan masyarakat, satu fitnah boleh memusnahkan keharmonian negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Cabaran era digital

Aaron berkata era digital menimbulkan cabaran, termasuk penyebaran kebencian, berita palsu, ekstremisme dan budaya menghukum orang lain tanpa asas fakta.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa nilai Madani seperti hormat-menghormati, belas kasihan dan kelestarian sosial mesti dicerminkan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam penggunaan media sosial.

“Apa yang kita tulis, kongsi dan komen mencerminkan kematangan masyarakat kita. Setiap warganegara mempunyai tanggungjawab untuk menjadi agen perpaduan, bukan penyebar kebencian.

“Rakyat Malaysia perlu menjadi masyarakat digital yang matang, berfikir sebelum berkongsi, memeriksa sebelum mempercayai dan menghormati walaupun berbeza pendapat,” katanya.

Dialog antara agama

Aaron berkata Kerajaan Madani percaya dialog antara agama adalah asas utama dalam memperkukuh perpaduan negara kerana ia menyediakan platform terbaik untuk membina persefahaman, merapatkan jurang dan memupuk rasa hormat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Menurutnya, Malaysia dibina atas kekuatan menerima dan meraikan kepelbagaian, yang menjadi tiang keharmonian dan kestabilan negara.

Makna Hari Wesak

Hari Wesak, yang akan disambut esok, adalah hari suci yang paling penting bagi penganut Buddha, memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Siddhartha Gautama, pengasas agama Buddha. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga