Anwar raikan agamawan Saudi kontroversi mesra Zionis
Anwar raikan agamawan Saudi kontroversi mesra Zionis

Anwar raikan agamawan Saudi terpalit kontroversi 'mesra Zionis'

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini meraikan kehadiran seorang agamawan Arab Saudi yang terpalit kontroversi atas latar belakangnya yang mesra dengan lobi Zionis di Amerika Syarikat dan Israel. Kunjungan Mohammad Abdulkarim Al-Issa, yang merupakan setiausaha agung Liga Muslim Sedunia (MWL), berlaku hampir dua tahun selepas lawatannya ke Malaysia mencetuskan kritikan atas sejarahnya yang dilihat bersimpati dengan pemimpin Zionis.

Ia juga menjelang Muktamar Agamawan dan Cendekiawan Pelbagai Agama Seluruh Dunia, sebuah perhimpunan tahunan anjuran MWL yang diadakan di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu. "Dalam pertemuan yang singkat dan bermakna ini kami membincangkan beberapa isu hubungan antarabangsa serta hubung kait dengan pembelaan masyarakat Islam di seluruh benua yang menghadapi tekanan peperangan dan kezaliman," menurut hantaran Anwar di Facebook. "Mendoakan agar segala usaha murni dan kerja amal MWL terhadap Agama Islam serta masyarakat Muslim dan dunia ini diberkati Allah dan mendapat kejayaan seperti yang kita semua harapkan."

MWL merupakan badan dakwah anjuran kerajaan Saudi yang mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, termasuk ketika beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia, atau Abim. Tiga hari selepas serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, Al-Issa menyalahkan Tehran, sambil menuduh Iran melakukan "keganasan dan kejahatan di atas muka bumi yang melanggar semua nilai agama serta undang-undang dan norma antarabangsa dan kemanusiaan".

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kunjungan Al-Issa pada Mei 2024 berlaku ketika kemuncak kempen genosid Israel di Gaza yang menyasarkan orang awam Palestin, di mana lebih 70,000, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, terbunuh. Ketika itu, Al-Issa juga dianugerahkan ijazah doktor kehormat daripada Universiti Malaya. Bagaimanapun, latar belakang Al-Issa mula menjadi fokus disebabkan beliau dan MWL pernah dipuji media Israel, yang melihatnya sebagai orang penting dalam menjayakan pelan normalisasi hubungan dengan Riyadh. Normalisasi hubungan Arab Saudi dengan Israel adalah sebahagian daripada Perjanjian Abraham yang ditaja AS, dengan matlamat supaya regim Arab mengiktiraf negara Israel.

Mohammad Abdulkarim Al-Issa bersama pelbagai personaliti Zionis, termasuk Ketua American Jewish Committee David Harris, Rabbi Ephraim Mirvis dari UK, serta dua rabbi berpangkalan di AS, Marc Schneier dan Arthur Schneier, yang kesemuanya mempertahankan tindakan ketenteraan Israel di Gaza. Al-Issa, yang juga bekas menteri kehakiman Arab Saudi, pernah menyertai lawatan bersama kumpulan pro-Zionis dari AS, American Jewish Committee (AJC), melawat kem Nazi di Auschwitz di mana berlakunya pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi ketika Perang Dunia Kedua. AJC merupakan antara kumpulan Zionis yang melawan sentimen anti-Israel yang semakin meningkat di AS, dan menyatakan sokongan kepada genosid Israel di Gaza.

Al-Issa juga mengadakan pertemuan mesra dan berkongsi pentas dengan beberapa tokoh Yahudi Zionis lain, seperti rabbi berpangkalan di AS, Marc Schneier dan Arthur Schneier, dan Rabbi Ephraim Mirvis yang berpangkalan di UK, kesemuanya watak yang mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza. Pada 2021, Al-Issa mengambil bahagian dalam satu acara dianjurkan Universiti Yeshiva, institusi Yahudi di New York yang mempunyai cawangan di Israel, di mana beliau berkongsi pentas dengan presidennya Ari Berman, seorang rabbi Zionis yang mengetuai usaha mendapatkan sokongan universiti Amerika kepada Israel selepas serangan 7 Oktober lalu.

Pada 2022, media Israel menyambut baik keputusan Putera Mahkota Mohammed bin Salman melantik Mohammad Abdulkarim untuk menyampaikan khutbah semasa musim haji, dengan rangkaian Channel 12 di Israel menyifatkannya "isyarat penting" dari Riyadh mengenai pendiriannya terhadap normalisasi dengan Israel. Dalam satu artikel yang memuji Al-Issa, akhbar Times of Israel pula menyifatkan beliau sebagai "suara menentang anti-Semitisme", tuduhan yang kerap digunakan Israel terhadap pengkritiknya, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Al-Issa juga dilihat kerap mengutuk mereka yang menafikan berlakunya pembunuhan ramai-ramai orang Yahudi dulu, atau "holocaust deniers", iaitu label yang sering dilemparkan pada sesiapa yang mempersoalkan naratif Barat mengenai penghapusan Yahudi di bawah Nazi Jerman.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Al-Issa bagaimanapun menafikan beliau bersimpati dengan Israel, dan berkata beliau cuma berkongsi pentas dengan penganut Yahudi dalam menyebarkan kebaikan, sambil menambah mereka dirujuk sebagai "ahli kitab" di dalam al-Quran. Sebaliknya, beliau berkata ada kalangan rakyat Israel sendiri yang menentang kejahatan, dan akan mengutuk sesiapa sahaja termasuk orang Islam jika mereka melakukan kesalahan.