Anwar gesa diplomat Malaysia perkukuh diplomasi ekonomi tarik pelaburan berkualiti
Anwar gesa diplomat perkukuh diplomasi ekonomi tarik pelaburan

Anwar gesa diplomat Malaysia perkukuh diplomasi ekonomi tarik pelaburan berkualiti

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu diplomat Malaysia terus memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara, khususnya dalam menarik perdagangan, pelaburan berkualiti tinggi dan meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal bertugas di pelbagai wilayah strategik di seluruh dunia semalam.

“Saya menyentuh bahawa peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar menguasai protokol dan hubungan rasmi antara negara, tetapi juga memerlukan pemahaman mendalam tentang sejarah, budaya, sistem politik dan nuansa masyarakat setempat supaya setiap bentuk penglibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Saya juga menekankan kepentingan usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi muda diplomat supaya mereka memiliki pengetahuan luas, pemikiran tajam dan keupayaan menghadapi perkembangan geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Anwar berkata Malaysia akan terus menjunjung prinsip kesederhanaan, kestabilan, tadbir urus baik serta pendekatan diplomasi yang berlandaskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di persada dunia. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga