GEORGE TOWN: Rundingan dan perbincangan mengenai Projek Air Perak-Pulau Pinang memasuki fasa akhir dengan perjanjian antara kedua-dua pihak dijangka dimeterai pada penghujung minggu depan.
Perjanjian Projek Air Perak-Pulau Pinang
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata majlis menandatangani perjanjian itu dijangka berlangsung di Ipoh, Perak namun tertakluk kepada pemuktamadan beberapa perkara teknikal yang sedang diperhalusi oleh pakar dan pegawai daripada kedua-dua pihak.
“Pelbagai aspek teknikal masih diperhalusi oleh pakar dan pegawai kedua-dua pihak bagi memastikan setiap terma dalam perjanjian dipersetujui bersama.
“Semua dibincangkan (termasuk harga), cuma apabila kita meneliti perjanjian, ada banyak bahasa teknikal, pakar dan sebagainya untuk dihalusi serta dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Perkara sedemikian yang kita lihat sebelum ia ditandatangani,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-26 PBA Holdings Bhd.
Inisiatif Strategik Skala Mega
Projek Air Perak-Pulau Pinang merupakan inisiatif strategik berskala mega yang melibatkan pemindahan air mentah dan air terawat bagi menampung permintaan air di utara Semenanjung selain bermatlamat untuk menyokong keperluan domestik serta perindustrian di Pulau Pinang.
Projek Pemulihan dan Tambakan
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan projek pemulihan tapak pelupusan sampah di Jelutong dan projek tambakan laut di Persiaran Karpal Singh, Chow berkata keputusan akan diumumkan selepas menerima maklum balas daripada syarikat konsesi terhadap cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Beliau berkata pandangan penduduk setempat yang membantah projek berkenaan turut diambil kira dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan syarikat terbabit.



