PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mendera seekor anjing di sebuah kediaman di Seri Kembangan, susulan penyebaran klip video yang tular di media sosial.
Jabatan itu mengesahkan menerima aduan orang ramai mengenai perkara tersebut dan mengatakan bahawa tindakan telah diambil oleh satu pasukan pegawai kebajikan haiwan.
“Usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan itu berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas anjing berkenaan, iaitu seekor poodle jantan berwarna perang, pada hari Rabu.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Ia meminta mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi DVS Selangor atau pegawai penyiasat kanan Shuaib Anuar di 013-4321512 bagi membantu siasatan.
Klip video bertarikh 22 April itu menunjukkan seorang lelaki membawa poodle tersebut sebelum melemparkannya ke dinding. Difahamkan bahawa anjing itu mengalami kecederaan pada kaki kanan hadapannya.
Pada 22 April, Malaysiakini melaporkan seorang penyelamat haiwan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pendera yang didakwa itu, sambil menyatakan bahawa pelbagai laporan polis dan aduan telah dibuat.
Sebuah video berasingan, bertarikh 14 April, juga muncul semula, menunjukkan poodle itu merintih dan terpincang-pincang semasa melarikan diri daripada seorang lelaki dan bersembunyi di bawah meja di dalam sebuah rumah.



