Apad Buka Siasatan Insiden LRT Tergelincir di Chan Sow Lin
Apad Siasat Tren LRT Tergelincir di Chan Sow Lin

PETALING JAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah membuka kertas siasatan dengan serta-merta bagi menyiasat insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang tergelincir landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin pada pagi semalam.

Dalam satu kenyataan, Apad memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren. Pihak pengendali juga telah diarahkan untuk mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden tersebut secepat mungkin.

Menurut Apad, laporan itu akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan. “Ia bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Selain itu, siasatan juga turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” tambahnya.

Semalam dilaporkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan selepas sebuah trennya tergelincir akibat gangguan teknikal pada landasan di Stesen Chan Sow Lin. Rapid Rail memaklumkan bahawa tren yang tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan itu membawa 25 penumpang. Kesemua penumpang selamat dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Susulan kejadian itu, Apad berkata pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan tapak bagi menilai keadaan awal insiden serta memastikan tindakan segera diambil oleh pengendali. “Pemeriksaan tapak pertama telah diketuai oleh ketua pengarah Apad bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel. Pemeriksaan kedua dilakukan pada pukul 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan perlu dilaksanakan,” jelasnya.

Apad menegaskan bahawa keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan. “Kita akan pastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga