Seorang lelaki berusia awal 50-an mengalami kerugian sebanyak RM511,406 selepas terpedaya dengan tawaran pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat melalui skim pelaburan yang tidak wujud dalam talian.
Mangsa yang membuat laporan polis semalam menyedari dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan yang memperdayakannya sejak Mac lalu. Ketua Polis Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor telefon tidak dikenali pada 18 Mac, sebelum diperkenalkan kepada satu skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.
Suspek kemudian memberikan pautan kepada mangsa dan mengarahkannya membuat beberapa pembayaran ke akaun bank yang ditetapkan bagi tujuan pelaburan tersebut. Dalam tempoh 1 April hingga 24 Mei lalu, mangsa telah membuat 25 transaksi ke pelbagai akaun dengan jumlah keseluruhan RM511,406.
Bagaimanapun, selepas wang dipindahkan, suspek terus meminta bayaran tambahan dengan alasan kononnya diperlukan untuk membolehkan mangsa menerima keuntungan pelaburan yang dijanjikan. Mangsa yang tidak pernah menerima sebarang keuntungan atau pulangan akhirnya menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat. Sebarang semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berkaitan, dan hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber.



