Maghribi berdepan kebimbangan kecederaan membabitkan dua pemain utama, Abdessamad Ezzalzouli dan Noussair Mazraoui, yang mungkin terlepas aksi pembukaan Piala Dunia menentang Brazil pada Ahad ini.
Kedua-dua pemain terpaksa keluar awal ketika aksi seri 1-1 menentang Norway dalam perlawanan pemanas badan terakhir pada Ahad lalu, sebelum kejohanan bermula minggu ini di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Ezzalzouli digantikan pada separuh masa selepas mengalami kecederaan kaki, manakala Mazraoui keluar pada minit ke-29 akibat masalah bahu selepas perlawanan sengit di mana Maghribi mendahului awal tetapi Norway menyamakan kedudukan 15 minit sebelum tamat.
“Kami meninggalkan kesan yang baik walaupun tidak menang kerana kami menunjukkan beberapa perkara yang sangat baik menentang lawan yang sangat bagus,” kata jurulatih Mohamed Ouahbi kepada pemberita.
“Itulah gunanya bermain menentang pasukan seperti ini. Apabila anda membuat banyak pertukaran (10 kesemuanya), ia sukar untuk pemain tetapi penting untuk kami menguruskan masa bermain semua orang.
“Dua pemain terpaksa keluar kerana cedera. Kami sedang menunggu untuk melihat betapa seriusnya kecederaan itu. Saya lebih bimbang tentang itu,” tambah jurulatih itu.
Maghribi adalah pasukan kejutan yang mara ke separuh akhir pada Piala Dunia lepas dan mempunyai harapan tinggi untuk memberikan persembahan cemerlang sekali lagi pada edisi 2026.
Mereka memulakan saingan Kumpulan D dengan pertembungan menentang juara lima kali Brazil di Stadium New York-New Jersey.



