HORSENS, Denmark – Malaysia akan memulakan kempen Piala Thomas dan Uber 2026 di sini dengan mesej jelas daripada kem jurulatih, iaitu memulakan aksi dengan kuat, kekal tenang, dan menerima tekanan.
Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen, percaya perlawanan pembukaan bagi pasukan lelaki dan wanita di Forum Horsens, esok, akan menentukan rentak keseluruhan kempen, dengan kekuatan mental dan keyakinan memainkan peranan penting.
“Jika kami dapat bermain dengan kemampuan terbaik, kami berpeluang cerah. Pasti setiap pasukan akan melakukan apa sahaja untuk memberi tekanan kepada kami, jadi saya sangat teruja untuk melihat pemain wanita (Piala Uber) dan bagaimana mereka mengendalikannya,” katanya dalam klip video yang dikongsikan oleh Persatuan Badminton Malaysia, hari ini.
“Adalah sangat penting untuk memulakan dengan rentak tinggi (Piala Thomas). Sekali lagi, penting untuk pemain menerima cabaran yang mendatang dan mampu mengharungi pelbagai kesukaran yang akan dihadapi dalam mana-mana perlawanan,” tambahnya.
Juara lima kali Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B Piala Thomas menentang England. Bagi Piala Uber, Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan memulakan kempen di sini menentang Turkiye.
Jurulatih berusia 51 tahun dari Denmark itu juga berkata skuad telah menunjukkan tenaga yang kuat sepanjang kem latihan di Herning baru-baru ini dan bersedia untuk melancarkan kempen di Horsens.
Sementara itu, pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, percaya semua pemain sangat bermotivasi untuk memulakan perlawanan pertama dengan rentak positif. Rexy berkata tanpa mengira pemilihan, setiap pemain mesti bersedia dari segi mental untuk tampil apabila dipanggil, terutamanya dalam persekitaran bertekanan tinggi pertandingan berpasukan.
Piala Thomas dan Uber 2026, yang bermula hari ini, akan berlangsung sehingga 3 Mei. – Bernama



