FAM tunggu laporan penuh insiden pemain maut disambar petir di Melaka
FAM tunggu laporan penuh insiden sambar petir di Melaka

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan laporan penuh daripada Persatuan Bola Sepak Melaka (MFA) dan penganjur perlawanan berikutan insiden seorang pemain maut selepas dipercayai disambar petir ketika perlawanan persahabatan di Melaka semalam.

Kronologi insiden dan langkah keselamatan

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata laporan itu akan mengkaji kronologi kejadian dan tindakan yang diambil, sebelum mengenal pasti bidang penambahbaikan dalam pengurusan keselamatan perlawanan.

“Bagi pihak FAM, saya ingin merakamkan takziah kepada keluarga pemain yang maut dalam kejadian disangka sambar petir semasa perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu, Melaka, semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“FAM memandang serius insiden yang memilukan ini dan berharap semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keutamaan keselamatan dalam sukan

Beliau berkata tragedi ini harus menjadi peringatan kepada komuniti bola sepak untuk sentiasa mengutamakan keselamatan. Beliau juga menggesa semua persatuan bola sepak negeri, kelab, akademi dan penganjur perlawanan untuk memantau keadaan cuaca dengan teliti sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Noor Azman berkata FAM menggalakkan penganjur mempertimbangkan penggunaan Sistem Pengesanan Petir di venue pertandingan. “Sistem ini dapat mengesan aktiviti petir secara masa nyata dan memberi amaran awal kepada pegawai perlawanan, membolehkan mereka membuat keputusan tepat pada masanya mengenai keselamatan.

“Sistem pengesanan petir digunakan dalam banyak pertandingan, termasuk liga profesional, sebagai sebahagian daripada prosedur pengurusan risiko mereka,” katanya.

Keputusan tangguh perlawanan bukan kelemahan

Sementara itu, Noor Azman berkata keputusan untuk menangguhkan atau menggantung perlawanan atas sebab keselamatan tidak boleh dilihat sebagai kelemahan dalam pengurusan perlawanan, tetapi sebagai tindakan yang bertanggungjawab. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga