BAM pecah Aaron-Wooi, Wei Chong-Kai Wun demi misi Olimpik
BAM pecah Aaron-Wooi, Wei Chong-Kai Wun demi Olimpik

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk memecahkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Tee Kai Wun-Man Wei Chong sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang memperkukuh beregu negara menjelang kelayakan Olimpik tahun depan.

Strategi Baharu untuk Kelayakan Olimpik

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perancangan tersebut tidak akan menjejaskan ranking dunia kedua-dua pasangan. Aaron-Wooi Yik kini menduduki ranking kedua dunia, manakala Wei Chong-Kai Wun berada di ranking keenam dunia.

“Perkara ini tidak dibincangkan secara khusus tetapi Rexy Mainaky (pengarah kejurulatihan beregu negara) telah berbincang dengan ahli majlis berkaitan sebulan yang lepas. Saya menyokong penuh keputusan pihak kejurulatihan untuk mencuba gandingan baharu. Kita perlu memberi peluang kepada jurulatih untuk mencuba strategi berbeza,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Bukit Kiara.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Gandingan Kekal untuk Kejohanan Dunia

Namun, Tengku Zafrul menegaskan bahawa Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun masing-masing akan kekal bergandingan bagi menghadapi beberapa kejohanan dunia dengan menggunakan ranking dunia semasa mereka. “Dari segi ranking, mereka akan menggunakan ranking nasional. Untuk Kejohanan Dunia, mereka akan tetap kekal dengan pasangan asal kerana mereka layak berdasarkan gandingan tersebut.”

Beliau menambah, “Kita perlu fikir untuk jangka masa panjang, terutamanya untuk kelayakan Olimpik tahun depan. Lebih baik kita cuba sekarang daripada mencuba tahun depan ketika tempoh kelayakan Olimpik bermula.”

Gandingan Baharu di Terbuka Jepun

Terdahulu, timbul teka-teki berhubung gandingan membabitkan kedua-dua pasangan itu selepas menyaksikan Aaron akan digandingkan dengan Kai Wun, sementara Wooi Yik bersama-sama Wei Chong pada kejohanan Terbuka Jepun di Tokyo pada 14 hingga 19 Julai depan, berdasarkan senarai yang dikeluarkan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga