JOHOR BAHRU, 28 Jun — Enam pelajar lelaki berusia 17 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan berhubung insiden buli terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Muar pada Mei lalu.
Tangkapan di Muar dan Alor Gajah
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kesemua pelajar tersebut ditahan di Muar dan Alor Gajah, Melaka, antara jam 1.30 pagi hingga 2.12 pagi hari ini, susulan laporan polis yang dibuat semalam.
Menurut kenyataan beliau hari ini, pemeriksaan mendapati kesemua pelajar tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka telah direman selama dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan 507B Kanun Keseksaan.
Siasatan terhadap warden dan pihak sekolah
Ab Rahaman berkata polis juga menyiasat kemungkinan unsur pengabaian melibatkan warden asrama dan pengurusan sekolah kerana kejadian berlaku di dalam dormitori. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata mangsa mendakwa dipukul di dada, mengalami lebam di sekitar mata selepas dipukul di kepala, dan dipaksa menyerahkan wang kepada suspek yang merupakan pelajar senior di sekolah tersebut.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma, yang menyebabkan dia berhenti sekolah,” tambah beliau.
Polis gesa mangsa lain tampil
Ab Rahaman menggesa mana-mana pelajar lain yang mungkin menjadi mangsa buli oleh kumpulan pelajar yang sama supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis memandang serius insiden buli di sekolah itu dan akan menjalankan siasatan secara telus dan adil. — Bernama



