Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Tony Pua Kenyataan Media Sosial
Polis Siasat Tony Pua Kenyataan Media Sosial Berkenaan Raja

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Polis telah membuka kertas siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, susulan satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Siasatan Di Bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh mendatangkan keburukan awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan dimulakan selepas polis menerima 28 laporan dari seluruh negara berhubung hantaran tersebut,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini semalam.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata polis akan memanggil semua pihak yang terlibat, termasuk Tony, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Kenyataan Tony Pua

Semalam, Tony yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dilaporkan menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan di mana kuasa raja-raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan berikutan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki, dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu, supaya melawat Dataran Selangor seminggu sekali untuk lebih memahami dan menghayati erti Rukun Negara. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga