Seorang guru dan seorang buruh masing-masing dipenjara lapan tahun serta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang wanita bagi tujuan eksploitasi seks dua tahun lalu. Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hasfyanizam Mansor, 50, yang bekerja sebagai guru, dan rakannya Mohamad Fazley Jaafar, 31, seorang buruh, pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda. Kedua-dua mereka didakwa memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks dengan cara menyalahgunakan kedudukan mangsa yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.
Kesalahan dilakukan di kondominium
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar pada 2.35 pagi 11 Mac 2024. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan kedua-dua anak guamnya merupakan ketua keluarga dan menanggung keluarga masing-masing. Beliau juga menyatakan bahawa hukuman berat akan memberi kesan kepada ahli keluarga mereka, terutamanya anak-anak.
Pendakwaan minta hukuman berat
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad memohon hukuman berat dan setimpal, mengambil kira bahawa Mohd Hasfyanizam seorang guru sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat, sebaliknya terlibat dalam perbuatan jenayah itu. “Pihak pendakwaan berharap agar hukuman berat dijatuhkan kepada kedua-dua tertuduh agar mereka dapat berfikir, bermuhasabah dan menjadikan hukuman tersebut sebagai titik tolak untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd Zul Zakiqudin berkata mahkamah berharap hukuman yang dikenakan itu dapat menginsafkan kedua-dua tertuduh. Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noradila Abdul Latif.



