BATU PAHAT: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat parti politik yang bersekongkol untuk menjatuhkannya kerana kerajaan pimpinannya tegas dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Kerajaan Madani tidak berkompromi dengan rasuah
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pentadbiran Kerajaan Madani yang tidak berkompromi dengan amalan mencuri wang rakyat atau menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi menjadi faktor yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pihak tertentu. “Sebab itu tuan-tuan tahu sekarang, semua parti pakat mahu jatuhkan saya. Kenapa? Sebab dia tahu kita strict (tegas). Dia tahu kita jaga semua,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama PMX bagi DUN Senggarang bersempena dengan PRN Johor, di sini hari ini.
Anwar tidak gentar dengan tekanan politik
Anwar berkata beliau tidak gentar dengan tekanan politik itu kerana prinsip pentadbirannya jelas, iaitu memastikan pemimpin tidak menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan tanah, projek, saham atau kekayaan peribadi. Beliau berkata sepanjang beberapa kali turun ke Johor sebagai perdana menteri, beliau tidak pernah mengambil sebarang tanah, projek atau saham di negeri itu. “Saya datang Johor berpuluh kali, saya ambil tanah? Tak. Saya ambil projek? Tak ada. Saya ambil saham? Tak ada. Kita kena ajar wakil rakyat kita, negeri baik, jaga prinsip ini,” katanya.
Seru pengundi Johor beri peluang kepada PH
Sehubungan dengan itu, Anwar menyeru pengundi Johor supaya memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negeri berkenaan bagi membawa perubahan lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek kebajikan rakyat dan tadbir urus yang bersih. Beliau berkata Johor perlu mempunyai kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan supaya agenda pembangunan dan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Perdana Menteri berkata walaupun Johor menerima banyak projek pembangunan bernilai berbilion ringgit, masih terdapat isu asas rakyat yang perlu diberi perhatian termasuk perumahan, jalan, masjid, surau, rumah ibadat serta bantuan kepada golongan memerlukan. “Pembangunan naik, bilion-bilion ringgit, rumah rakyat mahal. Ini kerja (kerajaan) negeri. Negeri tak buat. Johor negeri kaya. Tak mahu berapa orang kecil kaya, rakyat banyak miskin,” katanya.
Pertahan kerjasama PH dengan DAP
Sementara itu Anwar turut mempertahankan kerjasama PH dengan DAP dengan menekankan bahawa sepanjang beliau menerajui kerajaan, wakil DAP dalam Kabinet tidak pernah menentang program berkaitan Melayu dan Islam. “Saya dah tiga tahun setengah sebagai Perdana Menteri, belum sekali Kabinet daripada DAP menentang program untuk Melayu ataupun Islam. Boleh semak rekod,” katanya.
Terharu dengan sambutan penyokong di Senggarang
Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terharu dengan sambutan penyokong PH di Senggarang yang disifatkannya luar biasa kerana sanggup menunggu dalam cuaca panas bagi mengikuti program berkenaan. “Senggarang ini luar biasa semangatnya. Tengah panas pun boleh tunggu. Jarang ceramah saya orang tengah panas semangat begitu luar biasa,” kata beliau sambil menyeru pengundi di kawasan Senggarang, Rengit dan Penggaram supaya memberi sokongan padu kepada calon PH pada PRN kali ini.



