PETALING JAYA: Tiga individu termasuk dua pengarah syarikat, pengeluar dan pemproses padi dan beras ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu berjumlah kira-kira RM20 juta. Difahamkan, dokumen itu diserahkan kepada institusi kewangan pembangunan bagi dana Kemudahan Modal Kerja Perdagangan-I (Trade Working Capital Financing) untuk pembelian padi dan beras.
Seorang suspek direman lima hari
Sumber berkata, seorang daripada tiga suspek ditahan reman lima hari hingga 11 Julai selepas perintah dikeluarkan Majistret Eliana Ismail di Mahkamah Sivil Alor Setar, Kedah pagi tadi. “Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu yang juga pengurus operasi ditahan kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Alor Setar,” katanya.
Ahli keluarga bersubahat
Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang merupakan ahli keluarga bersubahat melakukan perbuatan itu pada 2025. “Bagaimanapun, dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang merupakan pengarah syarikat dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Urusan pembelian tidak berlaku
Suspek terbabit dipercayai mengemukakan dokumen palsu itu kepada institusi kewangan pembangunan, bagaimanapun urusan pembelian padi dan beras tersebut tidak berlaku. Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.



