Parti Bersama Malaysia (Bersama) bakal berdepan 'tembok realiti yang tebal' di Sabah atas faktor kecenderungan rakyatnya memilih parti tempatan dan ketiadaan pimpinan bertaraf 'nama besar', kata penganalisis.
Dinamika Politik Sabah
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, PRN tahun lalu menunjukkan negeri itu mempunyai dinamika unik dipengaruhi kebangkitan kuat sentimen tempatan, menyaksikan parti nasional hanya menang lapan daripada 73 kerusi dipertandingkan. Barisan Nasional (BN) menang enam manakala Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh satu DUN.
“Realitinya sukar melihat ada ruang kosong boleh diisi Bersama. Geografi politik Sabah hanya ada 25 kerusi Parlimen dan semuanya sudah terbahagi mengikut etnopolitik (politik etnik) yang jelas,” kata Lee kepada FMT.
“Malah berpandukan profil pimpinan bekas PKR Sabah yang menyertai Bersama, ia kelihatan seperti parti serpihan yang longgar kerana rata-ratanya bukan wakil rakyat mahupun figura politik berpengaruh,” tambahnya.
Latar Belakang Bersama
Bersama diambil alih oleh dua bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu yang mengisyiharkan keluar parti. Di peringkat Sabah, parti itu setakat ini aktif digerakkan bekas pimpinan PKR antaranya Razeef Rakimin. Bekas ketua penerangan PKR Sabah itu dalam hebahan di media sosialnya berkata Bersama mahu mengakhri dominasi politik lama dan menolak kompromi semata-mata untuk kuasa.
Bekas ketua PKR Tuaran itu menegaskan yang Bersama akan bertanding di kawasan PH terutama PKR, malah BN serta PN, walaupun kebanyakan kerusi terutama DUN di Sabah kini dikuasai parti tempatan.
Pandangan Penganalisis Kedua
Seorang lagi penganalisis Syahruddin Awang Ahmad juga dari UMS berpendapat, langkah mengelak pertembungan dengan kuasa besar parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan Bersama tidak mempunyai taring politik sebenar.
“Akhirnya demi memastikan kelangsungan talian hayat politik di Sabah, mereka mungkin terpaksa akur menjadi sekadar pelengkap atau rakan komponen ‘junior’ yang tidak dominan dalam mana-mana gabungan,” katanya.
Beliau menjangkakan Bersama bakal berdepan kesukaran di Sabah kerana asas penubuhannya hanya berkisar penjenamaan semula oleh pemimpin peringkat akar umbi yang keluar parti serta tidak mengikut acuan tempatan.
Perbandingan dengan Upko
Membandingkannya dengan Upko yang keluar PH menjelang PRN, Syahruddin berkata parti tempatan berkenaan memiliki struktur sejarah dan jentera mantap. Katanya, keadaan itu membantu Upko menang tiga kerusi pada pilihan raya negeri lalu.
“Tanpa kekuatan asas sedemikian, Bersama sebenarnya hanya bergantung kepada penjenamaan semula bekas pemimpin bawahan yang bertindak keluar parti,” ujarnya.
“Keadaan itu sudah tentu menyukarkan penggerak Bersama untuk membina keyakinan dan menarik sokongan pengundi Sabah yang lebih cenderung memilih parti mempunyai penjenamaan serta struktur stabil,” katanya.



