BATU PAHAT: Seramai 60 ahli Bersatu dari cawangan Senggarang Timur, termasuk bekas ketuanya, mengumumkan keluar parti dan menyertai PKR dalam satu program bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senggarang, Onn Abu Bakar, malam ini.
Bekas ketua pimpin penyertaan
Bekas ketua Bersatu Senggarang Timur, Mohamad Asri Sebin yang mengetuai kumpulan itu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mereka memilih untuk menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya berharap mereka yang masih dalam Bersatu dapat berhijrah dan buka minda. Saya pilih kerajaan yang memerintah negara kita. Itu pendirian saya,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian kepada Onn pada program Ramah Mesra Bersama Anak Muda.
Onn Abu Bakar sambut baik
Sementara itu, Onn berkata beliau dimaklumkan kemasukan itu membabitkan kira-kira 60 ahli Bersatu, dengan sebahagian lagi masih dalam proses mengisi borang keahlian. “Ini malam yang bersejarah bagi PKR Cabang Batu Pahat. Kami difahamkan lebih kurang 60 ahli Bersatu menyertai PKR. Ada lagi borang yang belum diisi dan saya berharap dapat menyerahkan borang ini kepada perdana menteri esok jika berkesempatan,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu menyifatkan tindakan kumpulan berkenaan menyertai PKR ketika tempoh berkempen PRN Johor sebagai langkah berani. “Saya pun tak sangka mereka akan datang malam ini. Kita akan santuni anggota baharu ini dan libatkan mereka dalam program-program PKR di Batu Pahat,” katanya.
Saingan tiga penjuru
Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat bertanding di DUN Senggarang dalam saingan tiga penjuru menentang penyandang Mohd Yusla Ismail (BN) dan Mohd Rashid Hasnon (PN).



