Hamzah kembali: Hadi 'veto' keputusan MT PN, kata Tun Faisal
Hamzah kembali: Hadi 'veto' keputusan MT PN

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata Presiden PAS Hadi Awang telah memveto keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) berhubung ketua pembangkang. Petang tadi, Hadi mengumumkan PAS bersetuju untuk meneruskan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, selepas mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen partinya serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan Hamzah.

Samsuri mengambil alih peranan ketua pembangkang pada Mei, berdasarkan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MT PN. “Walaupun telah diputuskan dalam mesyuarat MT PN, yang pengerusinya adalah dari PAS (Samsuri), begitu juga timbalan pengerusi (Tuan Ibrahim Tuan Man), setiausaha agung (Takiyuddin Hassan), bendahari (Sanusi Nor), ketua Pemuda (Afnan Hamimi Taib Azamuddeen), tetapi presiden PAS yang bukan anggota MT PN boleh memveto keputusan itu seolah-olah PN sekarang sedang menggunakan sistem ‘mullah’,” katanya kepada FMT.

Hadi mengumumkan ketetapan PAS berhubung Hamzah pada konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan. Hamzah melepaskan jawatan ketua pembangkang pada April, di sebalik desakan pemimpin Bersatu selepas beliau dipecat susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Hamzah memegang jawatan timbalan presiden Bersatu sebelum dipecat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Tun Faisal menyorot perhatian kepada peringatan Umno berhubung PAS. “Pada 7 Mei 2022, Presiden Umno Zahid Hamidi pernah ingatkan mengenai PAS. Kata dia, PAS talam dua muka, siang cakap lain, malam berubah cakap lain,” katanya. “Jadi memang telah dijangka presiden PAS akan buat ‘U-turn’ dan akan memveto keputusan mesyuarat MT PN,” katanya. Pada Mei 2022, Zahid dilapor menyifatkan pandangan PAS yang menganggap konsep penyatuan ummah bawah payung Muafakat Nasional sebagai formula terbaik menghadapi PRU15 sebagai ‘talam dua muka’.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga