PRN Johor: Calon PH Pasir Raja guna strategi hibrid tarik undi
Calon PH Pasir Raja guna strategi hibrid tarik undi

KOTA TINGGI, 6 Julai — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Mohd Fakharuddin Moslim, menggunakan strategi hibrid untuk meraih undi pengundi dengan hanya empat hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata strategi hibrid itu menggabungkan kempen bersemuka secara agresif di lapangan dengan penguasaan naratif di platform media sosial. Kaedah ini terbukti berkesan apabila jenteranya berjaya menamatkan jelajah 100 peratus ke semua lokaliti di kawasan DUN tersebut.

Strategi hibrid capai semua segmen pengundi

Mohd Fakharuddin berkata melalui strategi itu, mereka bukan sahaja dapat mendekati kumpulan pengundi tradisional secara fizikal, tetapi juga berjaya menembusi sempadan geografi untuk berinteraksi dengan golongan muda dan pengundi di perantauan melalui penggunaan platform media sosial.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Ia membolehkan kami melibatkan hampir semua segmen masyarakat, termasuk peniaga kecil, petani, belia, dan peneroka Felda. Dari segi liputan fizikal, jentera kami telah berjaya menjejaki seluruh DUN Pasir Raja, termasuk kawasan yang agak terpencil seperti Sungai Redan.

“Memandangkan semua lokaliti telah dikunjungi, fokus kami dalam beberapa hari berbaki fasa akhir ini adalah untuk membuat pusingan kedua bagi mengukuhkan keyakinan pengundi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Golongan muda penentu kemenangan

Sementara itu, Mohd Fakharuddin berkata beliau sedar bahawa golongan muda adalah kumpulan penentu dalam landskap politik semasa, dan platform digital adalah ruang terbaik untuk mencetuskan kesedaran bagi menarik mereka pulang mengundi.

“Fokus utama kami sekarang adalah menggunakan impak digital ini untuk menggerakkan pengundi di perantauan, terutama belia, untuk pulang. Saya mahu pastikan mesej ini sampai ke gajet mereka bahawa setiap undi di Pasir Raja menentukan masa depan kawasan ini,” katanya.

Latar belakang anak peneroka Felda

Beliau berkata latar belakangnya sebagai anak peneroka Felda dan generasi kedua penduduk kawasan itu digunakan ketika turun ke lapangan bagi membina hubungan rapat dengan pengundi.

“Saya bersyukur kerana ada kimia spontan yang tercipta di lapangan, penerimaan penduduk Felda, termasuk generasi pertama, amat menyentuh hati saya. Mereka menyambut saya dengan mesra dan ada yang menjemput saya duduk, berbual, dan minum bersama di gerai semasa berkempen,” tambahnya.

Mohd Fakharuddin berdepan saingan tiga penjuru di DUN Pasir Raja yang mempunyai 29,818 pengundi berdaftar, menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Adham Baba dan calon Perikatan Nasional (PN) Yuhanita Yunan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga