Seorang peguam hak asasi manusia menggesa kerajaan supaya mendidik rakyat Malaysia tentang nasib masyarakat Rohingya, di tengah-tengah peningkatan permusuhan terhadap komuniti pelarian itu di negara ini.
Seruan untuk pendidikan dan tindakan tegas
Eric Paulsen, yang pernah menjadi wakil Malaysia di Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN bagi Hak Asasi Manusia, berkata Putrajaya mesti mengutuk ucapan kebencian atau vigilante yang menyasarkan komuniti pelarian yang menetap di Malaysia.
Paulsen menegaskan bahawa kerajaan mesti mengambil kepimpinan yang tegas dan berprinsip untuk melindungi komuniti tersebut sambil melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendidik dan memaklumkan rakyat.
“Senyap dalam menghadapi hasutan bukanlah neutral tetapi kebenaran (untuk pesalah meneruskan perbuatan tersebut). Kerajaan mesti mengutuk secara terbuka ucapan kebencian yang menyasarkan Rohingya dan memastikan ancaman serta hasutan keganasan disiasat dan, apabila wajar, didakwa.
“Rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan jujur tentang siapa Rohingya, mengapa mereka di sini, dan apakah dasar kerajaan.
“Perlu diingat bahawa bekas perdana menteri Najib Razak pernah mengadakan perhimpunan solidariti bersama Rohingya pada 2016, satu pengiktirafan di peringkat politik tertinggi bahawa penderitaan mereka memerlukan respons penuh belas kasihan. Semangat itu tidak boleh hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Penjelasan mengenai status pelarian
Paulsen mengulangi bahawa Rohingya tidak melarikan diri ke Malaysia untuk mencari keistimewaan, tetapi demi keselamatan daripada penganiayaan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata usaha untuk memulangkan pelarian Rohingya ke Myanmar atau menempatkan semula mereka di negara ketiga setakat ini menemui jalan buntu, sambil menambah bahawa ia adalah isu kemanusiaan yang kompleks.
Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk menjunjung nilai kemanusiaan dan tidak mengambil tindakan sendiri terhadap Rohingya, tetapi menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Anwar berkata pelarian Rohingya di Malaysia mesti mematuhi undang-undang tempatan atau berdepan tindakan penguatkuasaan, termasuk peraturan mengenai premis dan operasi perniagaan.
Polis baru-baru ini menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap Rohingya, berikutan panggilan di media sosial untuk menangkap pelarian di Perak.



