Skim Pengembara di fasa akhir, dibentang di Parlimen esok
Skim Pengembara fasa akhir, dibentang esok

Skim Pengembara yang menyediakan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, terutama di Singapura, kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang bermula esok.

Menteri sahkan pembentangan di Parlimen

Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama Perkeso telah menyiapkan kertas cadangan berkaitan skim berkenaan. Proses mendapatkan kelulusan diperlukan dijangka selesai seawal Ogos ini sebelum ia dikuatkuasakan.

“Sidang Parlimen bermula esok, jadi kami akan memulakan proses pembentangan kertas cadangan itu. Kami juga akan mengadakan sesi libat urus dengan Ahli-Ahli Parlimen bagi menerangkan manfaat program ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya Madani di Setia Tropika Convention Centre, Johor Bahru hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perkeso sudah bersedia

Ramanan berkata sebaik sahaja semua proses selesai, pelaksanaan skim itu boleh dimulakan serta-merta kerana Perkeso telah bersedia sepenuhnya. Skim itu dijangka memberi perlindungan sosial kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari antara Johor dan Singapura.

Skim di bawah Akta 789

Menurut Ramanan, Skim Pengembara akan dilaksanakan melalui perluasan liputan perlindungan di bawah Akta 789 atau Skim Lindung Kendiri di bawah seliaan Perkeso. Ini membolehkan individu yang layak membuat caruman bagi mendapatkan akses kepada lapan jenis faedah yang ditawarkan.

Karnival Lindung Kerjaya Madani

Terdahulu, Karnival Lindung Kerjaya Madani menghimpunkan 20 majikan yang menawarkan lebih 2,000 kekosongan jawatan termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji kompetitif sehingga RM16,000 sebulan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga