Adun Teratai: Lambakan Rohingya di Pandan Perdana krisis ketenteraman awam
Lambakan Rohingya di Pandan Perdana krisis ketenteraman awam

SHAH ALAM: Adun Teratai Yew Jia Haur menyifatkan isu lambakan gelandangan etnik Rohingya di Pandan Perdana sebagai satu krisis ketenteraman awam yang semakin serius dan tidak lagi boleh dianggap sekadar masalah sosial biasa.

Krisis ketenteraman awam

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih pada sidang DUN Selangor, Yew berkata, kehadiran warga asing itu sejak satu hingga dua tahun kebelakangan ini semakin tidak terkawal sehingga menjejaskan kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk tempatan.

Menurutnya, sebahagian mereka didakwa mendiami kaki lima, ruang letak kenderaan, serta membina penempatan haram di celah-celah bangunan perniagaan dan kawasan rekreasi, selain menceroboh premis kosong untuk dijadikan tempat tinggal tanpa izin.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Apa yang menyedihkan (ialah) kehadiran mereka bukan sekadar menumpang teduh, tetapi mendatangkan pelbagai kacau ganggu yang menguji kesabaran penduduk tempatan,” katanya.

“Isu kebersihan menjadi isu negeri, (apabila) sampah sarap dibuang merata-rata, bau hancing dan busuk menyelubungi lorong-lorong belakang serta penggunaan kemudahan awam secara rakus tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat setempat.”

Perilaku agresif dan cabaran undang-undang

Selain itu, katanya, terdapat juga laporan mengenai perilaku agresif serta tindakan yang mencabar kedaulatan undang-undang tempatan. Yew turut mendakwa penduduk berdepan kesukaran apabila aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering berakhir tanpa penyelesaian kerana masing-masing menyatakan kekangan bidang kuasa.

“Sehingga hari ini, tiada satu agensi kerajaan pun dilihat benar-benar tuntas dan berani untuk menangani isu ini secara ‘total’. Kita seolah-olah menolak bola sesama sendiri manakala penduduk Pandan Perdana terus menderita menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pemegang kad UNHCR yang didakwa menggunakan dokumen itu seolah-olah sebagai ‘lesen kebal’ untuk tinggal secara gelandangan di kawasan awam. Katanya, status pelarian tidak seharusnya menjadi alasan untuk melanggar undang-undang kecil PBT atau menceroboh harta awam.

Kesan kepada komuniti setempat

Beliau menambah, isu itu turut memberi kesan kepada nilai hartanah, menjejaskan perniagaan setempat serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan wanita dan kanak-kanak. Justeru, beliau mendesak kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dan tegas bagi menangani isu berkenaan sebelum tercetus ketegangan antara komuniti akibat kegagalan penguatkuasaan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga