Anwar: Pemerkasaan Bumiputera adalah keutamaan nasional, bukan hanya tanggungjawab agensi
Anwar: Pemerkasaan Bumiputera keutamaan nasional

PUTRAJAYA, 4 Julai — Agenda pemerkasaan Bumiputera bukan lagi tanggungjawab agensi tertentu semata-mata, sebaliknya ia adalah keutamaan nasional yang perlu dilaksanakan oleh semua kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua agensi kerajaan bertanggungjawab

Beliau berkata agensi kerajaan mesti menyelaraskan dasar dan program masing-masing bagi memastikan agenda pembangunan Bumiputera dilaksana secara menyeluruh.

Menurut Anwar, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang pelaksanaannya dipantau secara berkala, dan semua kementerian serta agensi dikehendaki melaporkan kemajuan masing-masing.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Semua agensi Kerajaan MADANI bertanggungjawab menyampaikan dasar negara. Dasar-dasar itu bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi sambil memastikan agihan yang adil dan saksama,” katanya ketika merasmikan program SPaRK 2026: Transformasi Perniagaan yang dianjurkan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) di sini hari ini.

Tiada agensi Bumiputera baharu

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan agensi Bumiputera baharu, sebaliknya memilih untuk memperkukuh institusi sedia ada dan memastikan semua kementerian serta agensi memainkan peranan masing-masing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan itu akan mempercepat pelaksanaan dasar sambil mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi.

“Saya fikir meneruskan cara lama sambil mengharapkan hasil lebih baik tidak akan berhasil.

“Atas sebab itu, saya tidak cenderung untuk menubuhkan agensi Bumiputera baharu, tetapi memastikan agensi sedia ada diperkukuh,” katanya.

Pertumbuhan ekonomi inklusif

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada memacu pertumbuhan ekonomi negara tanpa mengabaikan agihan kekayaan yang adil kepada rakyat, menekankan bahawa pembangunan ekonomi mesti dilaksana secara inklusif supaya semua lapisan masyarakat terus mendapat manfaat.

“Kami tidak menghalang sesiapa daripada bekerja keras untuk memacu pertumbuhan ekonomi, sama ada dalam kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum, ekonomi digital atau peralihan tenaga. Namun pada masa sama, kami mesti memastikan agihan adalah adil,” katanya.

Anwar juga berkata kerajaan mengamalkan pendekatan “menaikkan siling” untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara, sambil pada masa sama “menaikkan lantai” untuk menyokong mereka yang masih memerlukan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga