Polis Musnah Sindiket Seludup Diesel Subsidi RM1.8 Juta
Polis Musnah Sindiket Seludup Diesel RM1.8 Juta

KUALA LUMPUR, 25 April — Polis telah membongkar satu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dengan penahanan lapan individu dalam Ops Taring Bravo 1 di tiga buah kilang di Shah Alam dan Sungai Buloh, semalam.

Butiran Serbuan

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Penyiasatan Khas dan Perisikan (WCB/PSK), Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata sebanyak 124,950 liter diesel bersubsidi bernilai RM645,632 dirampas dalam serbuan pada pukul 3.50 petang itu.

Beliau berkata lapan individu yang ditahan terdiri daripada enam warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 27 hingga 56 tahun, yang memainkan pelbagai peranan seperti pengawal keselamatan, penyelia kilang, pengurus, penyimpan stok, pekerja, serta pembantu dan pemandu lori tangki.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Modus Operandi Sindiket

“Sindiket ini menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi secara canggih dan teratur dengan memanipulasi rantaian bekalan untuk meraih keuntungan besar.

“Lebih membimbangkan, sindiket ini juga beroperasi secara agresif dengan menjual semula diesel ke pasaran industri pada harga yang jauh lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata sindiket yang aktif sejak awal tahun ini mengumpul diesel bersubsidi secara berperingkat di sekitar Selangor sebelum menyeludupnya secara pukal untuk dijual pada harga RM4 seliter dalam kuantiti 5,000 liter kepada pihak ketiga yang bertindak sebagai pusat pengumpulan dan penyimpanan.

Tambahnya, diesel itu kemudiannya dijual semula dan diedarkan setiap hari dalam jumlah 5,000 hingga 6,000 liter pada harga antara RM4.80 dan RM5.00 seliter kepada beberapa syarikat perindustrian dan pembinaan di Lembah Klang.

Rampasan dan Tindakan Selanjutnya

“Operasi yang turut melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu membawa kepada rampasan dua lori tangki, 10 bekas pukal perantaraan (IBC), enam pam mesin dengan hos dan 12 tangki gelongsor, menjadikan jumlah nilai rampasan sebanyak RM1,827,712,” katanya.

Mohd Zaki berkata semua barang rampasan, suspek dan diesel bersubsidi yang dirampas telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata dua warga asing yang ditahan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga