Pesta Buku vs Pesta Air: Dua Acara Berbeza dengan Kepuasan Tersendiri
Pesta Buku vs Pesta Air: Dua Acara Berbeza

Pesta buku memang bukan acara glamor tetapi ia tetap memberikan kepuasan kepada pencinta buku malah memberikan pulangan ekonomi. Hujung minggu lalu, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama 10 hari. Sebulan sebelum itu pula, kita menyaksikan 'Rain Rave Water Music' atau lebih dikenali sebagai Pesta Air di Bukit Bintang.

Dua Pesta, Satu Tujuan: Keseronokan

Sekali imbas sahaja kita tahu ini adalah dua jenis pesta yang berbeza. Di satu tempat, ratusan ribu orang berhimpun untuk bermain air, mendengar muzik dan bergembira bersama rakan-rakan. Di satu tempat lagi, ratusan ribu orang berjalan dari satu dewan ke satu dewan sambil memegang beg yang semakin berat dengan buku-buku yang baru dibeli. Kedua-duanya dipenuhi manusia yang sedang mencari sesuatu yang sama iaitu keseronokan. Cuma caranya berbeza. Cara masing-masing. Keseronokan juga adalah makanan jiwa dan minda.

Saya tidak mahu mencari pasal dengan pesta air yang sememangnya bukan acara kegemaran saya. Memang kita membaca pelbagai kontroversi mengenainya dalam konteks politik. Meski ia dijadikan bahan serangan oleh pihak pembangkang, pesta yang hampir sama turut dianjurkan di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang. Pendekatannya mungkin berbeza, tetapi masing-masing boleh saling menuding jari mencari kesalahan. Itu orang politik punya hal. Hakikatnya, hidup ini memang memerlukan hiburan. Manusia bukan robot yang hanya bekerja dan hidup serius sepanjang masa. Kita memerlukan ruang untuk ketawa, bersantai dan melupakan seketika tekanan kehidupan. Itulah terapi namanya, selain ruang beribadat dalam menzahirkan ketaatan kepada tuhan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pesta Buku: Bebas daripada Politik

Cuma antara dua pesta ini, ternyata pesta buku tidak dapat dijadikan modal membahan politik oleh mana-mana parti. Tidak ada parti yang membelasah parti lain menggunakan isu pesta buku sebagai modal kutukan. Kenapa? Kerana imej buku ialah imej ilmu. Sementara imej muzik dan nyanyian pula masih sering dikaitkan dengan hiburan yang kononnya lebih dekat dengan maksiat.

Seorang kawan saya pernah membuat satu gurauan yang agak menyedihkan. Katanya, dia tidak risau jika keluar 'dating' dengan aweknya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. "Sebab aku yakin saudara-mara aku takkan datang punya." Saya ketawa. Tetapi selepas beberapa saat, lawak itu tidak lagi kedengaran kelakar. Sebaliknya terasa sedikit pahit. Ia membuatkan saya terfikir tentang keliling-kelalang saya sendiri. Eh, eh…betul juga.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak menghakimi sesiapa. Nak pergi pesta air, itu hak masing-masing. Nak ke pesta buku, itu juga selera masing-masing. Saya bercakap tentang diri saya sendiri. Tentang saya yang ada masanya tidak kisah membeli tiket konsert yang mahal kerana merasakan ia berbaloi untuk kegembiraan. Tetapi apabila hendak membeli buku, saya mula berfikir dua tiga kali. Takut lari bajet. Maknanya, ada masa-masa tertentu saya sanggup membayar ratusan ringgit untuk menyaksikan persembahan selama beberapa jam, tetapi teragak-agak untuk membeli sebuah buku yang boleh dibaca berulang kali selama bertahun-tahun. Barangkali di situlah bezanya.

Pesta Air Lebih Fotogenik, Pesta Buku Hidupkan Inspirasi

Pesta air lebih mudah menjadi tumpuan. Ia mempunyai muzik yang kuat, lampu berwarna-warni, suasana yang meriah dan gambar-gambar yang mudah dijadikan kandungan media sosial. Pesta buku pula dipenuhi orang yang sedang membelek buku, mendiskusi isinya dan berbual tentang penulis kegemaran mereka. Pesta air lebih fotogenik. Pesta buku pula menghidupkan inspirasi.

Namun, saya percaya pesta buku mempunyai satu kelebihan yang sangat tersendiri. Bagi saya ia adalah pesta idea. Di dalam dewan-dewan itu berkumpul pelajar, guru, pensyarah, penulis, ilustrator, penterjemah, penerbit dan pembaca. Mereka datang daripada latar belakang yang berbeza tetapi dipertemukan oleh satu perkara yang sama: rasa ingin tahu. Pertemuan seperti ini menghidupkan semangat. Yang membaca akan bertambah minatnya selepas menghadiri diskusi dan beramah mesra dengan penulis. Penulis pula akan lebih bersemangat untuk terus berkarya apabila melihat hasil kerjanya dihargai dan dibaca orang.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Cuma, sesekali apabila ada kawan saya yang bergelar 'bintang' merungut malas datang ke pesta buku kerana tidak tahan dengan kesesakan pengunjung, menyampah juga saya mendengarnya. Sebab apabila filemnya ditayangkan di pawagam atau persembahannya hendak dipentaskan, bukan main lagi dia mengajak orang ramai hadir. "Jom sokong anak seni tempatan!" "Sama-sama kita bikin gamat!" Begitulah lebih kurang bunyi promosinya. Alih-alih apabila kami, kawan-kawan penulis pula mengajak dia ke pesta buku, dia mula bersungut tentang kesesakan. Mana pergi slogan sokong anak seni tempatan tadi? Padahal penulis membeli tiket wayang. Penerbit buku menonton konsert. Pembaca mendengar muzik. Takkan tak tahu industri buku juga sebahagian daripada ekosistem seni yang sama? Takut kena kerumun? Eh, ada juga kawan-kawan 'star' yang selalu datang menjenguk kami di Pesta Buku, tiada masalah pulak!

Pesta Buku: Pulangan Idea dan Ekonomi

Saya bukanlah ulat buku. Saya juga tidak menghabiskan setiap hujung minggu dengan membaca novel atau buku tebal-tebal. Tetapi saya akan cuba hadir ke pesta buku untuk mencari buku yang menarik minat saya dan bersesuaian dengan bajet. Paling tidak, saya akan pulang dengan sebuah buku atau majalah tak berkala terbitan kawan-kawan secara mandiri. Dan saya yakin, saya juga sedang membawa pulang sebuah idea. Siapa tahu, daripada satu idea itu akan bercambah pula seribu idea yang lain.

Pesta buku memang bukan acara glamor. Tiada percikan bunga api. Tiada muzik berdentum. Tiada silauan lampu warna-warni atau pancutan air yang memukau. Tetapi ia tetap memberikan kepuasan kepada pencinta buku. Malah, ia juga memberikan pulangan ekonomi. Sepanjang sepuluh hari berlangsung, PBAKL berjaya mencatatkan hampir dua juta pengunjung. Ini bermakna purata kehadiran hariannya hampir 200,000 orang. Tidakkah itu juga satu pencapaian yang membanggakan? Bukankah angka itu juga setanding dengan kebanggaan yang diberikan kepada Pesta Air Bukit Bintang dengan mencatatkan sekitar 180,000 pengunjung pada malam penganjurannya? Jika pesta air dikatakan menjana sekitar RM200 juta kepada ekonomi, saya melihat pesta buku pula berjaya menjana berjuta-juta idea dan ilmu baharu. Ilmu tidak dapat diukur dengan nilai mata wang. Dan jika pesta buku diiktiraf sebagai antara acara yang paling sesak di negara ini, percayalah, saya sangat berbangga dengan kesesakan itu.