Anwar tolak cadangan naik harga minyak, buat pinjaman subsidi
Anwar tolak cadangan naik harga minyak, buat pinjaman subsidi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak sebarang cadangan untuk menaikkan harga minyak ketika negara berdepan dengan krisis bekalan global. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan bagi mengelakkan rakyat terbeban.

Kerajaan tampung subsidi besar

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Program Himpunan Rakan Muda Madani di Sungai Petani, Anwar berkata kerajaan membelanjakan antara RM3 bilion hingga RM7 bilion sebulan untuk menampung subsidi minyak. Jumlah itu, katanya, adalah di luar peruntukan sedia ada dan terpaksa ditampung melalui langkah penjimatan serta menghentikan ketirisan dana negara.

“Berapa satu bulan kita tampung? Bukan dalam peruntukan yang lama, tetapi ketika harga minyak naik, kita bayar RM5 bilion sebulan, RM3 bilion sebulan pun ada. Kemudian naik sampai RM7 bilion sebulan, sekarang turun balik RM4 bilion, RM5 bilion sebulan tambahan,” jelas beliau.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Tolak cadangan hutang

Anwar turut menolak cadangan pihak tertentu yang mahu kerajaan membuat pinjaman atau berhutang bagi meneruskan subsidi. Beliau menegaskan bahawa jalan keluar bukanlah dengan berhutang kerana ia akan membebankan generasi akan datang.

“Kalau suruh hutang, saya boleh hutang sekarang, lepas itu saya tinggalkan kerajaan, anak-anak yang harus bayar. Sebab itu jalan keluarnya bukan hutang, jadi kita lakukan apa yang kita mampu,” kata beliau.

Menurut Anwar, langkah kerajaan itu berjaya mengekalkan harga minyak di Malaysia, khususnya petrol RON95 pada RM1.99 seliter, sebagai antara yang terendah di dunia.

Peruntukan dewan serbaguna

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan Dewan Serbaguna Padang Awam, Taman Keladi di sini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga