KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2026 bernilai RM327.6 bilion, dengan eksport dan import masing-masing berjumlah RM184.0 bilion dan RM143.6 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pulau Pinang dominasi eksport dan import
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan bahagian terbesar dalam kedua-dua eksport dan import, sekali gus menyokong prestasi perdagangan negara.
Eksport meningkat sebanyak RM57.4 bilion atau 45.3 peratus berbanding Mei 2025. Peningkatan ini didorong oleh penghantaran lebih tinggi dari Pulau Pinang (RM50 bilion), Johor (RM6.6 bilion), Kuala Lumpur (RM2.1 bilion), Sarawak (RM1.7 bilion), Perak (RM504.4 juta), Terengganu (RM346 juta) dan Kelantan (RM35.7 juta).
Eksport merosot di lapan negeri
Walau bagaimanapun, eksport menurun di Sabah sebanyak RM1.1 bilion, Pahang (RM905.8 juta), Melaka (RM569.7 juta), Selangor (RM509.1 juta), Labuan (RM282.9 juta), Kedah (RM183.4 juta), Negeri Sembilan (RM154.1 juta) dan Perlis (RM10.3 juta).
“Penghantar eksport terbesar Pulau Pinang menyumbang 52.1 peratus, diikuti Johor (17 peratus), Selangor (12.7 peratus), Sarawak (5 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus),” kata Mohd Uzir.
Import meningkat 14.1 peratus
Sementara itu, import meningkat sebanyak RM17.8 bilion atau 14.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu. Kenaikan import didorong oleh Pulau Pinang (RM13.2 bilion), Johor (RM9.2 bilion), Kedah (RM1.3 bilion), Negeri Sembilan (RM1 bilion), Kuala Lumpur (RM496.4 juta), Sabah (RM245 juta), Pahang (RM68.1 juta), Labuan (RM31.5 juta) dan Terengganu (RM2.2 juta).
Import menurun di Selangor sebanyak RM4.7 bilion, diikuti Melaka (RM1.4 bilion), Perak (RM215.8 juta), Perlis (RM117.2 juta), Sarawak (RM55.1 juta) dan Kelantan (RM41.3 juta).
“Pulau Pinang mendominasi import Malaysia dengan bahagian 29.4 peratus, diikuti Johor (24.4 peratus), Selangor (22.4 peratus), Kuala Lumpur (8.3 peratus) dan Kedah (4.8 peratus),” katanya.



