Pendaki Singapura cedera jatuh di Gunung Datuk, Rembau
Pendaki Singapura cedera jatuh di Gunung Datuk

Seorang lelaki warga Singapura berusia 52 tahun cedera selepas dipercayai terjatuh di kawasan berbatu ketika menuruni Gunung Datuk di Rembau, berhampiran Seremban pagi ini.

Kejadian di Gunung Datuk

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Kanan II Asnizam Kamberon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian yang melibatkan mangsa pada pukul 10.29 pagi.

“Mangsa merupakan antara 11 pendaki yang menyertai pendakian ke puncak Gunung Datuk, diiringi dua Pandu Gunung Perhutanan Negeri Sembilan (MGP).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Dia dipercayai terjatuh di kawasan berbatu berhampiran tangga puncak ketika menuruni gunung dan mengalami patah pada lengan kanannya,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Tindakan penyelamat

Asnizam berkata, Pasukan Tindak Balas Operasi (PKO) kemudiannya mendaki ke lokasi mangsa yang kira-kira dua kilometer dari kaki gunung dan membawanya turun menggunakan pengusung.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut, dan operasi yang melibatkan lima anggota itu tamat pada pukul 2.28 petang. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga