Dua pasangan suami isteri ditahan kes penderaan pembantu rumah di Johor
Dua pasangan ditahan kes penderaan pembantu rumah viral

ISKANDAR PUTERI, 14 Jun — Dua pasangan suami isteri ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan pembantu rumah didera di Taman Johor berhampiran Tampoi.

Butiran penangkapan

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pasangan berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan kira-kira jam 7.30 malam oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan tersebut tinggal serumah dan suspek wanita merupakan adik-beradik.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurutnya, penderaan dipercayai membabitkan tiga pembantu rumah dan disyaki berlaku pada 26 Julai tahun lalu.

“Rakaman video dibuat oleh salah seorang mangsa tetapi hanya tular di media sosial semalam. Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri hari ini.

Keadaan mangsa

Beliau berkata, tiga pembantu rumah yang dipercayai berusia 20-an itu disyaki telah melarikan diri dan dipercayai masih berada dalam negara.

Sementara itu, Ab Rahaman berkata polis merampas telefon bimbit, pakaian milik suspek, kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport pembantu rumah tersebut.

Beliau berkata, keempat-empat suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau. Mereka direman selama empat hari bermula hari ini.

Seksyen kesalahan

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana serangan atau kekerasan jenayah dengan niat mencemar kehormatan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.

Beberapa klip video tular di media sosial semalam menunjukkan sekumpulan individu mendera seorang pembantu rumah wanita yang duduk di atas sofa di dalam sebuah rumah. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga