Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 4,107 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 316 tekong penyeludupan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Statistik tahanan mengikut negara
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Mohd Zawawi Abdullah, berkata sindiket penyeludupan migran masih aktif dan mengeksploitasi perairan negara kerana kedudukan strategik Malaysia di rantau ini.
“Statistik dari Januari hingga April menunjukkan jumlah PATI yang ditahan paling tinggi berasal dari tiga negara iaitu Myanmar (1,932), Indonesia (1,727), dan Filipina (180), yang membuktikan ancaman masih serius.
“Situasi ini memerlukan tindakan penguatkuasaan yang agresif dan berterusan oleh pihak berkuasa di seluruh perairan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Op Redback 22/2026 di sini hari ini.
Siasatan dan kerjasama antarabangsa
Mohd Zawawi berkata APMM telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran membabitkan 19 tekong dan 233 PATI.
“Daripada jumlah itu, majoriti tekong yang ditahan adalah dari Indonesia (13), diikuti Myanmar (tiga), Thailand (dua), dan seorang warga tempatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Op Redback telah dijalankan dengan kerjasama Pasukan Sempadan Australia (ABF) sejak 18 Mei di perairan Sandakan, dan operasi ini mencerminkan kerjasama penguatkuasaan maritim berterusan antara Malaysia dan Australia sejak 2014.
“Operasi yang dilaksanakan oleh APMM dan ABF ini memberi tumpuan kepada memerangi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran, penyeludupan barang terkawal, usaha mencari dan menyelamat di laut, serta penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU),” katanya.
Mohd Zawawi berkata sebanyak 4,107 tangkapan yang dibuat tahun ini jelas menunjukkan keberkesanan kerjasama strategik termasuk dengan ABF, dan usaha penguatkuasaan perlu diteruskan dengan lebih agresif dan bersepadu.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan ada kompromi terhadap sebarang aktiviti jenayah di laut bagi menjaga kedaulatan perairan negara. — Bernama



