Lima warganegara China cedera kereta ikut aplikasi navigasi jatuh gaung di Machang
Lima warga China cedera kereta ikut aplikasi navigasi jatuh gaung

Lima warganegara China cedera selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung di tapak pembinaan longkang di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Machang, lewat malam tadi.

Kejadian berlaku sekitar 11.50 malam

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam kira-kira pukul 12.01 tengah malam. Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 11.50 malam, melibatkan sebuah Toyota Prius yang dipandu seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun, bersama empat penumpang warganegara China yang lain.

“Kesemua mereka dalam perjalanan dari Temangan, Machang ke Tok Bali, Pasir Puteh, dengan menggunakan aplikasi navigasi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kenderaan itu dipercayai telah memasuki tapak pembinaan longkang yang masih dalam pembinaan sebelum terjunam ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa cedera dan dihantar ke hospital

Azuhar berkata, kesemua mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut. Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Azuhar menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada terhadap papan tanda amaran, kon lalu lintas dan penghadang di tapak pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi, terutamanya pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Mangsa dikenal pasti

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd Fadzil Musa ketika dihubungi Bernama berkata, lima mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dikenal pasti sebagai Wang Fuying (59), Wang Yumi (61), Pan Jieyin (66), Yang Chuan (40), dan Zeng Guojin (65).

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga