Tujuh ditahan polis selepas pergaduhan tepi jalan di Jasin, dua cedera
Tujuh ditahan polis selepas pergaduhan di Jasin

Polis menahan tujuh individu, terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita, bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan tepi jalan berhampiran hentian bas di Jalan Gapam, Bemban, Jasin, yang menyebabkan dua orang cedera semalam.

Tangkapan dilakukan di sekitar Melaka

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, berkata kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Melaka antara jam 3 petang dan 6.50 petang semalam.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes, termasuk lima telefon bimbit, pakaian, kasut, selipar dan sebatang kayu berwarna perang.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Permohonan reman di Mahkamah Majistret Jasin

“Permohonan perintah reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin hari ini bagi memudahkan siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Melaka selepas kejadian dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kejadian berlaku pada awal pagi

Semalam, Lee dilaporkan berkata dua lelaki cedera parah selepas diserang dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di tepi jalan berhampiran hentian bas di Jalan Gapam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 pagi itu, seorang lelaki menganggur berusia 21 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala, manakala mangsa kedua, seorang pemandu lori berusia 28 tahun, mengalami pendarahan otak serta patah tangan kiri dan kaki kiri.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga