Polis rakam keterangan tujuh individu berkait kes dua askar maut
Polis rakam keterangan tujuh individu kes askar maut

ALOR SETAR: Polis setakat ini merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan insiden letupan yang mengorbankan dua anggota tentera semasa menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, pagi tadi.

Siasatan menyeluruh sedang dijalankan

Timbalan Ketua Polis Kedah, Baderulhisham Baharudin berkata pihaknya akan turut mengambil keterangan saksi lain yang berada di lokasi kejadian, termasuk jurulatih, rakan selatihan dan pegawai lapang sasar yang turut mengikuti latihan berkenaan.

"Esok kita akan sambung lagi untuk dapatkan keterangan saksi lain bagi membantu siasatan kes berkenaan…peserta yang terlibat dalam latihan dan mereka yang berada di tempat kejadian, termasuk penyelia dan sesiapa sahaja yang berada di tempat kejadian," katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata kedua-dua jenazah berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat dan diharap dapat diselesaikan malam ini juga.

Polis nafi unsur jenayah

Baderulhisham berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. "Setakat ini, dapatan kita tidak ada 'foulplay' tetapi siasatan menyeluruh (akan dibuat) termasuk terhadap prosedur operasi standard."

Beliau turut memohon orang ramai tidak menularkan gambar-gambar kejadian bagi menghormati mangsa dan keluarga mangsa. "Ini juga bagi memberi ruang kepada pihak polis dan tentera untuk menjalankan siasatan secara terperinci, dan jangan buat sebarang spekulasi berkaitan kes," katanya.

Insiden latihan baling grenad

Terdahulu, Tentera Darat mengesahkan berlaku satu insiden semasa latihan membaling grenad dalam latihan peningkatan tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun, kira-kira 10.57 pagi tadi.

Dua anggota yang terlibat iaitu Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama RAJD, mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan.

Kedua-dua anggota dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi mendapatkan rawatan lanjut, bagaimanapun, disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga