Petronas sahkan tiga maut dalam insiden bot penyelamat di pelantar Sepat
Petronas sahkan tiga maut dalam insiden bot penyelamat

KUALA TERENGGANU, 25 Mei — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan tiga pekerja kontraktor maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden semasa kerja penyelenggaraan bot penyelamat di pelantar Sepat, perairan Terengganu-Kelantan semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

“Petronas merakamkan takziah yang mendalam kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerja mangsa. Keutamaan segera syarikat adalah untuk menyokong kebajikan mereka yang terjejas,” kata kenyataan itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Malam tadi, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari apabila keempat-empat mangsa dipercayai menaiki bot penyelamat di pelantar untuk turun ke laut bagi kerja penyelenggaraan di bahagian bawah pelantar.

Beliau berkata tali yang diikat pada bot penyelamat dipercayai terlepas, menyebabkan bot dan keempat-empat mangsa jatuh ke laut.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Mangsa yang cedera, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor, kini menerima rawatan dalam keadaan kritikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga