MERSING, 1 Jun — Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 19, Jalan Endau-Mersing di sini petang semalam.
Butiran Kemalangan
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan yang membabitkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Innova dan Chery Omoda pada kira-kira pukul 5.10 petang.
Beliau berkata, mangsa, Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, dan Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23, dari Taman Kota Masai, Pasir Gudang, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki Muhammad Firdaus dan Siti Nur Aisyah, dalam perjalanan menuju ke Mersing, hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Toyota Innova serta sebuah Chery Omoda. Ketika itu hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mangsa Lain
Abdul Razak berkata, pemandu Toyota Innova patah jari kaki kanan, manakala isterinya cedera ringan. Pemandu Chery Omoda yang berusia 75 tahun dilaporkan tidak cedera.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sheral Anuar Mawarday, dalam kenyataan berasingan, berkata Pasukan Ekstraksi (PKO) berjaya mengeluarkan dua mangsa dari Perodua Myvi menggunakan peralatan khas.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. — Bernama



