Nadma Lancar Aplikasi MyDIMS untuk Amaran Bencana Masa Nyata
Nadma Lancar MyDIMS untuk Amaran Bencana Masa Nyata

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah melancarkan aplikasi Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia (MyDIMS) yang membolehkan orang ramai memantau situasi dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan bencana.

Pelancaran aplikasi tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim di pameran Resilient Asia 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Meor Ismail, MyDIMS adalah aplikasi maklumat yang mengintegrasikan data amaran dan bencana daripada pelbagai agensi teknikal secara bersatu. Pengguna boleh memantau status terkini jenis bencana, jumlah mangsa, serta jumlah pusat pemindahan sementara yang telah dibuka.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Salah satu kelebihan utama aplikasi ini adalah keupayaannya menghantar pemberitahuan tolak untuk amaran awal bencana jika pengguna berada dalam radius 25 kilometer dari kawasan bencana, sekali gus membantu perancangan kendiri dan pengurusan bencana yang lebih teratur, katanya kepada pemberita selepas pelancaran.

Meor Ismail berkata MyDIMS juga menyediakan panduan navigasi ke pusat pemindahan yang diintegrasikan dengan fungsi pemetaan digital, membolehkan pengguna mengetahui sama ada pusat itu dibuka atau ditutup, serta kapasitinya bagi memudahkan perancangan pergerakan mangsa.

Aplikasi ini juga menyediakan pautan dail pantas MERS 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan dengan lebih cepat. MyDIMS turut berfungsi sebagai pusat rujukan dengan menyediakan pintasan kepada aplikasi mudah alih agensi teknikal lain seperti myCuaca, MyPublic InfoBanjir, MyJAS EQMS, Bencana JKR, MylBJKM dan myPasangSurut.

Pintasan kepada aplikasi ini memberikan pengguna akses yang mudah, selain fungsi carian hubungan kecemasan yang membantu pengguna mencari nombor talian hotline pusat operasi kawalan bencana daerah dan negeri, serta agensi kecemasan berhampiran berdasarkan jarak dari lokasi semasa mereka, katanya.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi MyDIMS melalui Gedung Google Play dan Gedung Apple App Store.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga