SEPANG, 13 Jun — Salah satu daripada tiga landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, masih ditutup sementara sehingga jam 9 malam ini berikutan insiden letupan tayar pesawat lebih awal.
Pengumuman Rasmi KLIA
KLIA dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa penutupan sementara itu telah dimasukkan dalam Notis Terkini kepada Penerbang (NOTAM), manakala operasi di dua landasan lain berjalan seperti biasa.
"Sebilangan penerbangan yang tiba dan berlepas mungkin mengalami kelewatan semasa waktu puncak petang."
"Pasukan kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menyelesaikan kerja-kerja pemulihan dan mengembalikan operasi normal dengan selamat dan cekap yang mungkin," demikian menurut hantaran tersebut.
Nasihat kepada Penumpang
Penumpang dinasihatkan untuk menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat penerbangan terkini sebelum pergi ke lapangan terbang. — Bernama



