KOTA BHARU, 3 Jun — Empat burung eksotik bernilai kira-kira RM100,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand telah dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (GOF) dalam satu operasi berhampiran jeti haram Kak Nah di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
Operasi Op Taring Wawasan Kelantan
Komander Briged Tenggara GOF, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata rampasan itu dilakukan dalam Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 7 malam selepas pasukan Strike Force mengesan seorang lelaki sedang menurunkan beberapa sangkar di sebelah Malaysia Sungai Golok.
Beliau berkata suspek melarikan diri dengan bot ke arah tebing sungai Thailand setelah menyedari kehadiran anggota GOF.
Rampasan Burung Eksotik
"Pemeriksaan ke atas sangkar yang ditinggalkan mendapati dua ekor burung Makaw Biru dan Emas serta dua ekor nuri Amazon Dahi Biru, yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit sah.
"Turut dirampas dua sangkar yang digunakan untuk mengangkut burung-burung tersebut, menjadikan jumlah nilai rampasan dianggarkan RM100,200," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tindakan Susulan
Menurut Ahmad Radzi, kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan lanjut dan tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Beliau berkata burung-burung eksotik itu dipercayai untuk pembeli tempatan, dan menambah bahawa rondaan serta pemantauan di sepanjang sempadan akan terus dipergiatkan untuk membendung aktiviti penyeludupan hidupan liar.



