PETALING JAYA: Empat anggota sebuah keluarga, termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun, maut selepas kereta mereka dihancurkan oleh sebuah treler yang terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak petang tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, dan Nayla Afya Aizat, setahun, lapor Bernama. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami, manakala pemandu treler berusia 40 tahun sedang menerima rawatan bagi kecederaan kepala dan pinggul.
Anggota bomba dilaporkan mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mayat-mayat tersebut. Konsesi lebuh raya, AFA Prime Berhad, berkata treler itu dipercayai terbabas sebelum menghancurkan kereta yang berada di lorong perlahan. Kedua-dua kenderaan terhenti di lorong kecemasan.
Polis Pahang berkata treler itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan. Ia dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan melalui selekoh. “Treler itu terbalik ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebuah kereta di lorong kiri,” kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
Beliau berkata pemandu treler didapati mempunyai 15 saman trafik yang belum dijelaskan.



