Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) hari ini mengesahkan bahawa AirAsia Philippines telah menyelesaikan semua obligasi tertunggak kepada pengawal selia penerbangan tersebut sebelum tarikh akhir 6 Jun.
Penyelesaian sebelum tarikh akhir
Beberapa media tempatan Filipina semalam melaporkan bahawa CAAP telah mengarahkan syarikat penerbangan tambang murah itu untuk menghentikan operasi di semua lapangan terbang kerajaan berikutan kegagalan membayar lebih 271 juta peso (RM17.5 juta) bagi caj navigasi udara, pendaratan, tempat letak pesawat dan perkhidmatan penumpang dari 2021 hingga Mei 2026.
Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Agensi Berita Filipina, CAAP berkata: “CAAP mengakui dan menghargai kerjasama syarikat penerbangan itu serta komitmennya untuk menangani obligasi melalui penglibatan konstruktif dan koordinasi dengan CAAP.”
AirAsia nafi laporan penerbangan digantung
Sementara itu, Kumpulan AirAsia hari ini menegaskan bahawa laporan yang mendakwa penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Philippines telah digantung adalah sebahagian daripada kempen fitnah yang terancang untuk menjejaskan persaingan adil dalam sektor penerbangan Filipina.
Syarikat penerbangan itu menegaskan semua penerbangan di Filipina masih beroperasi sepenuhnya, dengan perkhidmatan berjalan seperti biasa di seluruh rangkaian, tertakluk kepada faktor operasi biasa seperti cuaca dan pertimbangan standard yang lain.
AirAsia juga meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi dan tidak terpedaya dengan laporan yang tidak berasas.



